OKTOBER 2023

Sarawak Hargai Kerajaan Madani, Dapat Peruntukan Besar Bajet 2024


BINTULU: Meskipun peruntukan sebanyak RM5.8 bilion diberikan kepada Sarawak, terdapat peruntukan lain dalam kementerian berkaitan yang turut memanfaatkan negeri ini dalam Belanjawan 2024.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara penting adalah Sarawak mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya usaha memperjuangkan hak-hak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia 1963 (MA63) boleh dilakukan berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana telah memberikan peruntukan besar kepada Sarawak. Ia tidak terhad kepada bajet iaitu sebanyak RM5.8 bilion. Terdapat juga kementerian yang mempunyai peruntukan kepada Sarawak. 

“Dalam erti kata lain, ia (bajet) boleh melebihi RM5.8 bilion (kepada Sarawak),” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara yang diadakan di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peruntukan belanjawan sebanyak RM5.8 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Pada masa sama Abang Johari berkata, beliau turut menghargai usaha Kerajaan Perpaduan berhubung pengambilalihan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak selain projek-projek infrastruktur termasuk Projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dan sektor pendidikan.

“Satu lagi adalah Pusat Kanser Sarawak. Yang ini unik kerana kita bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, kementerian akan menguruskan pusat kanser itu.

“Permulaan adalah berdasarkan pemahaman kita bahawa Sarawak juga akan membantu dalam pembinaan penyediaan perkakasan untuk pusat tersebut.

“Sudah tentu kami mahukan lagi (belanjawan lebih besar). Tetapi kita juga harus ingat ada sekatan dan batasan juga,” katanya.

Pada Jumaat, Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM5.8 bilion bagi pembangunan Sarawak, dan RM6.6 bilion lagi untuk pembangunan Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa beriltizam untuk menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963, dapat direalisasikan.

Selain itu beliau berkata, bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

Sumber dari : Jiwa Bakti